Search

Helah seludup ganja guna pos laju terbongkar

July 9, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Helah menyeludup ganja menggunakan bungkusan pos laju terbongkar apabila Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah menahan seorang lelaki sebelum memberkas seorang lagi suspek bersama syabu dalam dua operasi berasingan, semalam.

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, tangkapan pertama dilakukan hasil maklumat risikan selepas pihaknya menerima satu bungkusan pos laju daripada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Malaysia yang disyaki mengandungi dadah.

Beliau berkata, susulan itu sepasukan pegawai dan anggota JSJN IPK Sabah menahan seorang lelaki berusia 24 tahun di Alamesra, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

“Sebaik ditahan, suspek menyerahkan satu bungkusan pos laju sebelum pemeriksaan lanjut menemui tiga paket plastik mengandungi dadah disyaki ganja seberat 105 gram.

“Turut dirampas sebuah telefon bimbit jenis iPhone 13 Pro yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, suspek yang berasal dari Keningau dan tidak bekerja itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Dalam operasi berasingan kira-kira jam 7.50 malam, Alhusin berkata, sepasukan anggota JSJN IPK Sabah yang menjalankan Op Gempur Khas menahan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di lorong belakang sebuah premis di Inanam.

“Hasil pemeriksaan ke atas beg kecil yang dipegang suspek menemui satu paket plastik lutsinar mengandungi keratan tiub straw berisi hablur jernih disyaki syabu seberat 10.36 gram.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine,” katanya.

Beliau berkata, semakan turut mendapati lelaki warga Filipina berusia 36 tahun itu mempunyai dua rekod kesalahan lampau membabitkan Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, suspek pertama disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala suspek kedua disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Alhusin berkata, JSJN Sabah akan terus mempergiat operasi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di seluruh negeri serta menggesa orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu usaha memerangi jenayah berkenaan. – Info X