TAWAU: Sebuah kilang makanan sejuk beku di Batu 4, Jalan Apas di sini, musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku pada petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.59 petang.
Katanya, seramai 31 anggota bersama beberapa jentera dari BBP Tawau dikejarkan ke lokasi dan tiba pada jam 6.11 petang.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah kilang jenis tidak kekal berukuran kira-kira 118 x 110 kaki persegi yang telah terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dengan empat pancutan air, dengan sumber air diperoleh daripada jentera bomba dan pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.49 malam dan setakat ini tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
Menurutnya, operasi pemadaman masih diteruskan bagi memastikan api dipadam sepenuhnya serta mengelakkan risiko kebakaran berulang.
Katanya, operasi turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity.
“Setakat ini, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X