PAPAR: Seorang lelaki didenda RM6,000 selepas mengaku bersalah memiliki bahan lucah dalam telefon bimbitnya selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, pada Khamis.
Tertuduh berumur 27 tahun yang bekerja sebagai mekanik itu membuat pengakuan di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa selepas dibacakan pertuduhan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki bahan lucah iaitu 13 video dan satu gambar lucah di dalam telefon bimbitnya ketika berada di Pejabat Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Papar pada jam 5 petang, 5 Julai lalu.
Berikutan itu, Majistret menjatuhkan hukuman denda RM6,000 atau 10 bulan penjara jika gagal membayarnya.
Bagaimanapun, tertuduh dapat membayar denda berkenaan.
Terdahulu, perbuatan tertuduh menyimpan bahan lucah diketahui selepas bekas teman wanitanya membuat laporan polis mengatakan diugut bekas teman lelakinya itu.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa mengugut untuk menyebarkan video dan gambar hubungan intim bersama bekas teman wanitanya yang diambil tanpa persetujuan.
Ugutan itu dibuat selepas hubungan mereka berakhir hingga menyebabkan mangsa yang berumur 23 tahun mengalami tekanan emosi, trauma dan ketakutan.
Siasatan polis kemudian membawa kepada penahanan tertuduh pada 5 Julai lalu dan rampasan dua unit telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis IPD Papar, Inspektor Amir Khuzairi Ahmad, manakala siasatan kes oleh Inspektor Desmond Tanggapan.
Tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X