Search

Suara masyarakat awam penting sebagai rakan strategik kerajaan – Azrul

July 12, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengakui kepentingan suara dan pembabitan masyarakat awam sebagai rakan strategik dalam memastikan dasar dan inisiatif kerajaan terus memberi manfaat kepada rakyat.

Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim, berkata atas sebab itu kerajaan negeri bersikap terbuka terhadap pandangan, cadangan dan idea membina berkaitan pembangunan negeri daripada pelbagai pihak.

Katanya, selain menyampaikan kepada rakyat dasar yang dilaksanakan kerajaan, khususnya mengenai hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kerajaan juga mahu mendengar kehendak rakyat berkaitan pembangunan negeri.

Perkara itu, katanya antara pendekatan yang diambil menerusi program bertemu wakil badan bukan kerajaan (NGO) Sabah yang dihadirinya di Lemvah Klang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Hadir menjayakan Bicara Santai Hala Tuju SMJ: Aspirasi Kerajaan Negeri anjuran Pejabat Perhubungan Negeri Sabah Kuala Lumpur (PPNSKL) yang berlangsung di Tingkat 24, 3 Towers PPNSKL, Kuala Lumpur.

“Saya kongsikan pencapaian Kerajaan Negeri di bawah kerangka Sabah Maju Jaya (SMJ), di samping aspirasi serta harapan kerajaan dalam meneruskan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat Sabah.

“Perbincangan turut membuka ruang kepada wakil-wakil NGO Sabah di Lembah Klang untuk menyampaikan pandangan, cadangan dan idea membina berkaitan pembangunan negeri.

“Suara serta penglibatan masyarakat awam amat penting sebagai rakan strategik dalam memastikan dasar dan inisiatif kerajaan terus memberi manfaat kepada rakyat,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Sempena program itu, katanya penyampaian sumbangan kepada NGO Sabah dari sekitar Lembah Klang turut dilaksanakan sebagai tanda penghargaan atas komitmen memperkukuh kebajikan dan semangat kebersamaan anak-anak Sabah di perantauan.

“Semoga jalinan kerjasama antara kerajaan dan masyarakat terus diperkukuh demi merealisasikan aspirasi Sabah yang lebih maju, makmur dan sejahtera,” katanya. – Info X