Search

‘Kuota 200 liter diesel hanya cukup sehari ulang alik dari Kuamut ke KK’ – Masiung

July 12, 2026

Info X Reporters

BELURAN: Kuota 200 liter diesel sebulan yang ditetapkan menerusi pelaksanaan subsidi bersasar BUDI Diesel habis digunakan sehari hanya untuk perjalanan ulang alik Kuamut-Kota Kinabalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, mendakwa keadaan itu berikutan jarak yang jauh dan muka bumi yang mencabar di kawasan pedalaman negeri ini.

Sehubungan itu, katanya kuota BUDI Diesel yang hanya 200 liter sebulan adalah kurang praktikal berdasarkan keadaan muka bumi dan jarak perjalanan yang jauh dari kampung ke bandar utama.

“Contohnya, jarak perjalanan lima hingga enam jam dari Kuamut untuk berurusan ke Kota Kinabalu terpaksa menggunakan kira-kira 100 liter diesel untuk perjalanan sehala dan 200 liter jika berulang alik.

“Harus diingat kawasan Kuamut (daerah Tongod) lebih besar berbanding negeri Kedah dan hampir sama keluasan negeri Johor,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis Kesyukuran Pengundi Luar Kemenangan GRS DUN Kuamut di Dewan Kampung Tonoting Ulu Sapi Nangoh, pada Sabtu.

Masiung berkata, ramai pengguna terutama warga petani di kawasan luar bandar juga memiliki kenderaan bukan atas nama sendiri kerana dibeli secara pinjaman syarikat atau kaedah sambung bayar.

Keadaan itu, katanya menyebabkan mereka tidak layak memohon subsidi BUDI Diesel bagi mendapatkan harga yang lebih rendah di stesen minyak.

Selain itu, katanya ramai penduduk pedalaman yang tiada kenderaan diesel tetapi menggunakan diesel untuk menghidupkan janakuasa sensdiri juga terpaksa membeli bahan api itu pada harga yang tinggi tanpa subsidi.

“Sebahagian besar kawasan pedalaman tiada kemudahan jalan raya dan elektrik, jadi penduduk terpaksa menggunakan bot untuk pengangkutan dan generator pengganti tenaga elektrik tidak dapat menikmati subsidi BUDI Diesel dan terpaksa membeli dengan kadar ditetapkan di stesen minyak,” katanya.

Berikutan situasi itu, katanya pelaksanaan subsidi bersasar BUDI Diesel di Sabah dan Sarawak boleh mencetuskan isu serius jika polisi baharu itu tidak diperincikan semula selaras keperluan rakyat.

Masiung yang juga Pengerusi Backbencers Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, menegaskan ia adalah isu kritikal yang tidak boleh dipandang ringan kerana boleh mengundang kebencian rakyat wilayah Borneo terhadap dasar baharu Persekutuan.

Tegasnya, kuota 200 liter diesel sebulan bagi keluasan muka bumi jauh di pedalaman ke bandar tidak sesuai bagi kedua-dua negeri.

“Kita mahu kerajaan Persekutuan menaikan kuota diesel itu pada kadar 300 hingga 500 liter bagi setiap kenderan diesel.

“Bentuk muka bumi yang luas Sabah dan Sarawak tidak boleh disamakan dengan negeri-negeri kecil di Semenanjung,” katanya.

Katanya, suara rakyat Borneo tidak boleh dipandang sebelah mata kerana kedua-dua wilayah itu adalah pengeluar terbesar minyak negara.

Tegasnya, kesukaran rakyat menikmati subsidi diesel bersasar akibat syarat kelayakan terlalu ketat perlu diperhalusi.

Masiung mencadangkan supaya kerajaan melonggarkan syarat penjualan diesel kembali pada harga pukal dan diseragamkan seperti syarat subsidi petrol.

“Subsidi bersasar Budi Diesel lebih banyak memberi tekanan kepada pengguna kenderaan individu terutama di kawasan pedalaman.

“Kita menghormati usaha kerajaan Persekutuan mengurangkan ketirisan subsidi diesel, namun jarak rangkaian jalan raya kedua-dua negeri itu jauh berbeza berbanding di Semenanjung,” katanya. – Info X