Search

Ketua Geng Upik didakwa terbabit pengubahan wang haram berjumlah RM821,950

July 14, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng Upik’ berdepan sembilan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah keseluruhan RM821,950 ketika dihadapkan ke mahkamah, di sini, pada Selasa.

Tertuduh, Maslan Sani, didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta yang sama.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram melalui deposit tunai ke dalam akaun CIMB Islamic miliknya di beberapa cawangan di seluruh Sabah antara Januari hingga Disember 2016.

Tertuduh antara lain didakwa menerima dalam akaunnya sebanyak RM284,400 di CIMB cawangan Tawau, RM175,090 di cawangan Inanam, RM139,700 di Lahad Datu dan RM129,200 melalui satu akaun berasingan.

Maslan turut berdepan beberapa pertuduhan membabitkan deposit tunai di cawangan Api-Api Centre, Bundusan, Jalan Sagunting, 1Borneo Hypermall dan City Mall di Kota Kinabalu.

Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram terbabit, atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul dari Unit Jenayah Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Hasil Jenayah, Jabatan Peguam Negara, manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Fikry Jaafar dan Azhier Farhan Arisin.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula pada 11 Ogos 2026 di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Zaini Fishir @ Fisal.

Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak Oktober 2021 mengaitkan tertuduh dengan sebuah kumpulan jenayah terancang yang disiasat mengikut peruntukan di bawah Kanun Keseksaan. – Info X