Search

Pondok doa di Putatan diceroboh, polis siasat unsur khianat

July 14, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Polis menjalankan siasatan berhubung kejadian khianat membabitkan sebuah pondok doa di kawasan Sinundu Miracle Hill, Kampung Duvanson, Putatan yang ditemui dalam keadaan berselerak dan dipercayai dirosakkan individu tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu semalam sebelum siasatan segera dijalankan.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati beberapa barangan di dalam pondok doa berkenaan dipercayai dirosakkan, namun setakat ini tiada tangkapan dilakukan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kerosakan harta benda dan Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan atau merosakkan tempat ibadat atau objek suci dengan niat menghina agama.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sammy berkata, pihaknya memandang serius sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat, ketenteraman awam serta sensitiviti agama.

Sementara itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh mengganggu siasatan dan ketenteraman awam.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Anis Abdullah di talian 013-636 5734 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – Info X