Search

Inkues Zara Qairina: Saksi mengaku bukan pakar psikologi klinikal kanak-kanak berdaftar

July 14, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Saksi ke-76 inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengaku bukan seorang pakar psikologi klinikal kanak-kanak yang berdaftar di bawah Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia (MAHPC).

Dr Noor Aishah Rosli yang memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, di sini, sejak Isnin, memberitahu mahkamah yang beliau memiliki dua kelayakan sebagai kaunselor dan pakar psikologi klinikal kanak-kanak.

Saksi berkenaan membuat pengakuan itu selepas ditanya Pegawai Pengendali Inkues, Nahra Dollah mengenai kedudukan Dr Noor Aishah sebagai seorang pakar psikologi klinikal kanak-kanak yang tidak berdaftar di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016.

Dr Noor Aishah berkata, beliau tidak berdaftar di bawah akta berkenaan tetapi beliau bergantung kepada pendaftaran di bawah Lembaga Kaunselor dan memiliki kepakaran dalam bidang psikologi klinikal kanak-kanak berdasarkan latar belakang akademik dan lesen latihan dari Amerika Syarikat.

Beliau bersetuju bahawa bukti yang ada di Mahkamah Koroner hanya menunjukkan bahawa beliau adalah seorang kaunselor berdaftar dan bukan pakar psikologi klinikal kanak-kanak berdaftar.

Saksi berumur 51 tahun itu menjelaskan bahawa di bawah Lembaga Kaunselor, ahlinya dibenarkan untuk menjadi pengamal dan keterangan serta penilaian mereka membabitkan kes kanak-kanak dan remaja boleh digunakan di mahkamah.

Dr Noor Aishah turut memberitahu mahkamah bahawa beliau menggunakan nombor keahlian persatuan berbanding nombor yang diberikan kepada pakar psikologi klinikal kanak-kanak di bawah akta berkenaan.

Nahra kemudian bertanya sama ada Dr Noor Aishah tahu bahawa menjadi satu kesalahan bagi seseorang doktor yang merujuk dirinya sebagai pakar psikologi klinikal kanak-kanak tanpa mendaftar di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016.

Pertanyaan itu dibantah Peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara Qairina atas kepercayaan bahawa Dr Noor Aishah tidak boleh menjawab isu undang-undang yang berkaitan.

Bagaimanapun, Nahra menjelaskan bahawa hal itu adalah perkara asas berkaitan aspek kredibiliti di mahkamah.

Inkues kematian Zara Qairina yang dilaksanakan sejak September 2025 dibuat bagi mencari punca kematian Allahyarham Zara Qairina selepas ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025 dan dilaporkan meninggal dunia sehari kemudian. – Info X