Search

Pelajar UiTM maut dirempuh pacuan empat roda ketika ke tempat praktikal

July 14, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam yang sedang menjalani latihan praktikal di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau maut dalam kemalangan membabitkan sebuah pacuan empat roda dan motosikal di Jalan Tawau-Bombalai, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa lelaki berusia 24 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan berkenaan pada jam 8.30 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah Mitsubishi Triton yang dipandu seorang wanita tempatan berusia 32 tahun dan motosikal Yamaha 135LC yang ditunggang mangsa.

“Ketika kejadian, pemandu Mitsubishi Triton yang merupakan seorang penjawat awam sedang dalam perjalanan dari Sungai Imam menuju ke Klinik Kesihatan Felda Umas.

“Mangsa pula sedang dalam perjalanan dari Merotai menuju ke Pejabat Pendidikan Daerah Tawau bagi menjalani latihan praktikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian, pemandu Mitsubishi Triton dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat perlanggaran itu, Mitsubishi Triton terbabas ke bahu jalan sebelum memasuki parit dan terbalik dengan bahagian bawah kenderaan menghadap ke atas.

“Mangsa bersama motosikalnya tercampak kira-kira lima meter ke bahu jalan menghala ke bandar Tawau dan ditemukan dalam keadaan terbaring di kawasan semak berhampiran lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, pemandu Mitsubishi Triton mengalami kecederaan patah pada bahu dan tangan kanan sebelum dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Sehubungan itu, Wilynton menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu secara berhemah, mematuhi had laju dan memberi tumpuan sepenuhnya ketika berada di jalan raya.

“Keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain hendaklah sentiasa diutamakan bagi mengelakkan tragedi yang tidak diingini,” katanya.- Info X