KOTA KINABALU: Status kelayakan Dr Noor Aishah Rosli sebagai saksi pakar dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan diputuskan Mahkamah Koroner.
Ia selepas saksi yang dipanggil pasukan peguam mewakili ibu Allahyarham Zara Qairina itu didapati tidak berdaftar sebagai pakar psikologi klinikal kanak-kanak di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 (Akta 774).
Semakan semula status kelayakan saksi ke-76 itu, termasuk sama ada beliau boleh meneruskan keterangannya pada inkues berkenaan atau sebaliknya.
Berikutan itu, Koroner Amir Shah Amir Hassan mengarahkan semua pihak berkepentingan dalam inkues berkenaan mengemukakan hujahan bertulis untuk diteliti sebelum beliau membuat keputusan mengenai perkara itu.
“Saya minta semua pihak berkepentingan mengemukakan hujahan bertulis sebagai input mengenai perkara ini. Saya akan baca dan kemudian membuat keputusan sewajarnya,” katanya di akhir prosiding pada Selasa.
Terdahulu, Pegawai Pengendali Inkues, Nahra Dollah membangkitkan bantahan terhadap kelayakan Noor Aishah sebagai saksi pakar kerana beliau tidak berdaftar sebagai ahli psikologi klinikal kanak-kanak di bawah Akta 774.
Nahra, yang merujuk Seksyen 33(1)(c) Akta 774, berkata seseorang tidak boleh mengemukakan dirinya sebagai pakar jika tidak berdaftar mengikut akta berkenaan.
Perkara itu turut dipersetujui peguam Clarice Vyonne Conrad yang mewakili bapa Zara Qairina, sambil menyatakan seksyen berkenaan jelas menetapkan bahawa seseorang pakar psikologi klinikal kanak-kanak perlu berdaftar di bawah akta terbabit.
Sementara itu, peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara Qairina, berkata pihaknya sedia maklum mengenai akta berkenaan, namun percaya keputusan sama ada Noor Aishah adalah seorang pakar atau sebaliknya tertakluk kepada penentuan mahkamah.
Beliau berkata, pihaknya berpandangan Noor Aishah perlu meneruskan keterangannya, manakala isu berkaitan status kelayakan beliau sebagai pakar hendaklah diputuskan mahkamah pada akhir prosiding inkues.
Pada prosiding inkues hari ini, Mahkamah Koroner diberitahu bahawa Dr Noor Aishah hanya berdaftar di bawah Lembaga Kaunselor, namun mempunyai kelayakan akademik dan klinikal dalam bidang psikologi klinikal kanak-kanak yang digunakan bagi menyediakan laporan autopsi psikologi Zara Qairina.
Inkues kematian Zara Qairina yang dilaksanakan sejak September 2025 dibuat bagi mencari punca kematian Allahyarham Zara Qairina selepas ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025 dan dilaporkan meninggal dunia sehari kemudian. – Info X