Search

BUDI Diesel untuk Sabah dijangka ditambah baik

July 14, 2026

Info X Reporters

RANAU: Pelaksanaan BUDI Diesel di Sabah dijangka ditambah baik dalam dua tiga minggu lagi hasil libat urus kerajaan negeri bersama kementerian Persekutuan yang berkaitan.

Menyatakan perkara itu, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata beliau yakin akan ada penambahbaikan selepas keluhan mengenai pelaksanaan BUDI Diesel dibangkitkan pada mesyuarat Kabinet negeri.

Beliau berkata, perkara itu dibangkitkan selepas kementeriannya melaporkan hasil libat urus bersama Kementerian Kewangan Persekutuan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhubung kesan pelaksanaan subsidi bersasar diesel terhadap rakyat Sabah pada minggu lalu.

“Saya telah melaporkan secara keseluruhannya bagaimana petani kita terjejas, bagaimana jentera ladang kita terjejas, bagaimana kenderaan pikap kita terjejas dan sebagainya, termasuk golongan belia yang memiliki kenderaan pikap dan jip untuk tujuan pekerjaan serta perniagaan.

“Ketua Menteri mengambil perhatian serius perkara ini dan telah mengarahkan Kabinet negeri menjemput Kementerian Kewangan dan KPDN bagi sesi taklimat serta libat urus bersama penjawat awam dan wakil rakyat kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Padang Ragut, Pelancaran Kebun Dapur dan Kempen Vaksinasi Haiwan Kesayangan di Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar Ranau, di sini, pada Selasa.

Hadir sama ADUN Paginatan, Datuk Rusdin Riman; Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jumain Abdul Ghani dan Pengarah Perkhidmatan Veterinar Sabah, Dr Zul Bahar Abdul Rashid.

Jamawi berkata, sesi pertama libat urus mengenai isu subsidi diesel itu membabikan ketua-ketua jabatan negeri pada Jumaat ini di Menara Kinabalu, manakala sesi kedua bersama wakil rakyat kerajaan akan diadakan pada Ahad bagi membolehkan Kerajaan Persekutuan memperoleh gambaran lebih jelas mengenai situasi sebenar di lapangan sejak pelaksanaan BUDI Diesel.

Jamawi berkata, Sabah mempunyai keperluan yang berbeza berbanding Semenanjung kerana faktor geografi dan jarak perjalanan yang jauh, sekali gus memerlukan pendekatan lebih sesuai dalam pelaksanaan dasar subsidi bahan api.

“Kita tidak sama seperti di Semenanjung. Kalau di sana memandu tiga jam boleh merentasi beberapa negeri, tetapi di Sabah memandu tiga jam pun mungkin belum sampai ke satu daerah. Sebab itu keperluan penggunaan diesel dan petrol di Sabah berbeza.

“Kita faham isu ketirisan perlu ditangani, tetapi jangan kerana kegagalan mengawal ketirisan, beban itu dipindahkan kepada petani, nelayan, pengusaha industri makanan dan golongan muda yang berniaga. Itu tidak adil kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan kementeriannya menyampaikan bantuan kepada dua padang ragut di Ranau yang berupa peralatan seperti tiang dan dawai pagar, makanan ternakan serta mesin pemproses rumput bagi menghasilkan makanan ternakan yang lebih berkualiti.

Jamawi berkata, kerajaan negeri kini giat memulihkan padang-padang ragut yang kurang dimanfaatkan sebelum ini sebagai sebahagian usaha memperkasa sektor penternakan ruminan dan unggas di Sabah.

“Sejak enam bulan lalu saya telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar mempergiatkan program-program berkaitan serta memperkasakan penternakan ruminan, unggas dan sebagainya,” katanya.

Mengenai Kebun Dapur, Jamawi berkata sambutan terhadap inisiatif itu amat menggalakkan dengan lebih 3,000 individu dan kumpulan di seluruh Sabah kini terlibat dalam aktiviti itu berdasarkan rekod Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Katanya, kerajaan menyasarkan seramai 5,000 pengusaha Kebun Dapur dalam tempoh lima tahun, namun perkembangan semasa menunjukkan sasaran itu berpotensi dicapai lebih awal.

“Kita menjangkakan 1,000 pengusaha baharu setiap tahun, tetapi melihat kepada semangat rakyat Sabah hari ini, saya amat berterima kasih atas sokongan terhadap usaha kementerian,” katanya.

Beliau berkata kementerian juga sedang membangunkan platform digital dikenali sebagai kebundapur.com yang dijangka dilancarkan dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi bagi membolehkan pengusaha menjual hasil pertanian, perikanan dan penternakan secara terus tanpa orang tengah.

Katanya, platform itu tidak memerlukan lesen khas, namun semua produk akan dipantau oleh agensi berkaitan bagi memastikan kualiti dan keselamatan makanan terjamin sebelum dipasarkan kepada pengguna.

“Kita mahu memudahkan urusan pemasaran, tetapi pada masa sama memastikan hasil yang dijual memenuhi standard yang ditetapkan melalui pemantauan pegawai-pegawai di lapangan,” katanya. – Info X