Search

JBPM siap siaga hadapi fenomena El Nino

July 15, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi fenomena El Nino yang dijangka menyebabkan cuaca panas dan kering di negeri ini.

Ketua Zon Kota Kinabalu, JBPM Sabah, Penguasa Kanan Bomba 1, Johari Dzulkifli berkata, berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Sabah dijangka mengalami cuaca panas yang berlarutan sehingga penghujung September.

Katanya, JBPM telah mengarahkan semua balai bomba di bawah Zon Kota Kinabalu supaya membuat persediaan rapi, khususnya dari aspek logistik, kewangan dan peralatan operasi.

“Saya telah mengarahkan semua daerah dalam Zon Kota Kinabalu untuk bersiap sedia terutama dari segi logistik, kewangan dan peralatan.

“Dari segi tenaga kerja, saya menyerahkan kepada budi bicara setiap Ketua Balai untuk menentukan keperluan penambahan anggota berdasarkan situasi dan risiko di kawasan masing-masing,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran, hari ini.

Beliau berkata, JBPM turut bekerjasama dan menyelaras tindakan dengan agensi berkaitan termasuk MetMalaysia, Jabatan Air Sabah dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikan pemantauan dan tindakan awal dapat dilaksanakan secara berkesan.

Dalam usaha memperkukuhkan pemantauan di peringkat komuniti, Johari turut mengumumkan pelantikan Pegawai Pemantauan Kebakaran Terbuka Komuniti bagi daerah Tuaran, Putatan, Penampang, Lintas dan Kota Kinabalu.

Pelantikan itu melibatkan wakil daripada Ketua Bomba Sukarela dan Bomba Komuniti yang akan bertindak sebagai penyelaras pemantauan di kawasan masing-masing, selain menjadi penghubung antara komuniti dengan JBPM dalam menyalurkan maklumat berkaitan kebakaran terbuka.

“Semua Bomba Sukarela dan Bomba Komuniti juga telah diarahkan untuk bekerjasama memantau kawasan masing-masing, khususnya lokasi yang berisiko berlaku kebakaran terbuka.

“Usaha ini hanya akan berjaya sekiranya semua pihak memainkan peranan termasuk memantau sumber bekalan air dan melaporkan sebarang kejadian dengan segera kepada pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu diharap dapat mempercepatkan tindakan awal, mengurangkan risiko kebakaran terbuka daripada merebak serta meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat sepanjang tempoh cuaca panas akibat fenomena El Nino. – Info X