Search

Lapan sekeluarga cemas, rumah atas air roboh akibat angin kencang

July 15, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Lapan beranak hilang tempat tinggal apabila rumah atas air yang didiami di Jambatan 18, Kampung Sim-Sim, di sini, roboh dalam kejadian petang tadi.

Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu.

Kejadian dikatakan berpunca daripada angin kencang dengan bahagian balkoni rumah dilaporkan runtuh sejak semalam, disusuli keseluruhan bahagian belakang rumah hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sandakan, Sulaiman Salama, berkata mereka menerima panggilan pada jam 5.59 petang sebelum sepasukan tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bergegas ke lokasi untuk membuat pemantauan.

Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati struktur bahagian belakang rumah roboh dipercayai akibat angin kencang.

“APM menjalankan pemeriksaan untuk memastikan tiada mangsa mengalami kecederaan dan mengawal kawasan berisiko.

“Kita juga menasihatkan penghuni supaya tidak menghampiri kawasan yang runtuh,” katanya ketika dihubungi.

Sulaiman berkata, mangsa juga sudah diingatkan untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa agar tindakan susulan dapat diambil, sebelum operasi ditamatkan pada jam 7.03 petang. – Info X