KOTA KINABALU: Pelajar sekolah yang didapati bersalah kerana terbabit dalam kes pergaduhan, termasuk yang berlaku di kawasan luar sekolah bakal berdepan tindakan tegas.
Amaran itu dijelaskan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) menerusi satu kenyataan berikutan insiden pergaduhan membabitkan pelajar dilaporkan berlaku di Tawau hang tular di media sosial.
“JPNS tidak akan berkompromi dengan insiden salah laku sedemikian dan tindakan tegas akan diambil terhadap murid yang didapati bersalah selaras dengan peruntukan dan garis panduan yang sedang berkuat kuasa,” kata kenyataan itu pada Khamis.
Dalam kenyataan itu, JPNS menegaskan walaupun kejadian berlaku di luar sekolah, sebarang bentuk salah laku yang melibatkan murid dan pelajar dipandang serius.
Jelasnya, tingkah laku sedemikian bukan saja mencemarkan imej institusi pendidikan, malah boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan pelajar.
JPNS berkata, susulan kejadian itu, pihak sekolah bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengambil tindakan segera dengan mengenal pasti pelajar yang terbabit dan menjalankan siasatan dalaman.
“Insiden ini sedang dalam siasatan pihak polis dan JPNS memberi kerjasama penuh terhadap proses siasatan yang sedang berjalan,” katanya.
Pada Rabu, lapan pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di Tawau direman dua hari di Mahkamah Majistret Tawau bagi membantu siasatan kes pergaduhan yang didakwa berpunca daripada penyebaran gambar dan video berunsur seksual yang disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Berdasarkan fakta kes, polis menerima maklumat mengenai satu rakaman video berdurasi 27 saat yang tular menerusi aplikasi WhatsApp memaparkan pergaduhan membabitkan beberapa pelajar dengan seorang lelaki awam di kawasan kedai Batu 5, Jalan Apas.
Dalam kejadian itu, lelaki terbabit dipercayai menggunakan topi keledar sebagai senjata ketika pergaduhan berlaku.
Susulan kejadian berkenaan, sepasukan polis menahan semua pelajar berusia 13 dan 14 tahun kira-kira jam 3 petang kelmarin bagi membantu siasatan. – Info X