Search

Lima remaja ditahan, polis selesai siasat kes vandalisme pondok ibadat

July 16, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Polis berjaya menyelesaikan kes vandalisme membabitkan sebuah pondok ibadat di Sinundu Miracle Hill, Kampung Duvanson, Putatan, dengan penahanan lima remaja lelaki, semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, semua suspek berusia antara 13 hingga 16 tahun ditahan susulan siasatan yang dijalankan selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.

Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian itu berpunca daripada perbuatan vandalisme semata-mata dan tidak mempunyai kaitan dengan unsur menghina atau menjatuhkan mana-mana agama seperti yang ditularkan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kerosakan harta benda dan Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sammy berkata, polis memandang serius sebarang perbuatan khianat yang membabitkan rumah atau tempat ibadat kerana ia boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam.

Beliau berkata, siasatan dijalankan secara telus, profesional serta mengikut peruntukan undang-undang bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan semula gambar serta video kejadian sehingga boleh mengganggu siasatan atau mencetuskan keresahan awam.

“Polis turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat sehingga kes ini berjaya diselesaikan dalam tempoh singkat,” katanya.

Terdahulu, polis membuka kertas siasatan selepas menerima laporan mengenai sebuah pondok doa di Sinundu Miracle Hill, Kampung Duvanson, Putatan, yang ditemui dalam keadaan berselerak.

Pemeriksaan di lokasi mendapati beberapa barangan di dalam pondok doa berkenaan dipercayai dirosakkan oleh individu tidak dikenali sebelum siasatan membawa kepada penahanan lima remaja terbabit. – Info X