Search

Sabah, Sarawak perlu ada kuota dalam MCMC

July 16, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan Pusat disaran menimbangkan keperluan untuk memberi kuota kepada wakil dari Sabah dan Sarawak dalam keanggotaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Menyuarakan saranan itu, Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, berkata ia penting sejajar realiti geografi di Sabah dan Sarawak yang jauh berbeza berbanding Semenanjung.

“Keadaan ini hanya difahami oleh anak-anak kelahiran negeri kami, anak-anak tempatan yang mengerti tentang dimensi geografi yang luar biasa unik dan tersendiri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang-undang Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2026 ketika Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, pada Rabu.

Sambil menyatakan pentingnya keseimbangan dan timbangtara dalam keanggotaan suruhanjaya itu, Matbali berkata keanggotaan Sabah dan Sarawak bukan sekadar memenuhi prinsip keterangkuman, tetapi juga memperkaya perspektif nasional.

“Negara yang kuat ialah negara yang mendengar semua suara, bukan hanya suara yang paling hampir dengan pusat pentadbiran,” katanya.

Matbali menyambut baik rang undang-undang itu dan menyifatkannya sebagai bertepatan dan wajar diberi sokongan.

“Pindaan ini membawa mesej yang jelas bahawa kerajaan mahu memastikan MCMC terus relevan menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0, ekonomi digital dan perkembangan teknologi masa hadapan,” katanya. – Info X