SANDAKAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas 100 kilogram (kg) sisik tenggiling bernilai RM1.3 juta yang dipercayai cuba dieksport ke luar negara.
Rampasan dibuat menerusi pemeriksaan berkala di pintu masuk kargo udara di Lapangan Terbang Sandakan, kira-kira jam 2.30 petang, 6 Julai lalu.
Pengarah Kastam Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati sisik tenggiling itu dibawa ke daerah ini dari Kota Kinabalu menggunakan perkhidmatan bas ekspres sebelum dihantar ke kargo udara dipercayai untuk dieksport.
Katanya, modus operandi sindiket adalah dengan memasukkan sisik tenggiling ke dalam plastik hitam dan dimuatkan dalam lima bekas kotak yang setiap satu seberat 20 kg.
“Sindiket menggunakan taktik mengikrarkan dagangan dalam borang sebagai barangan lain untuk mengelirukan atau mengaburi pemeriksaan di pintu masuk kargo udara.
“Taktik ini bertujuan mengelakkan pengesanan serta keperluan mendapatkan permit eksport bagi spesies terjadual. Belum ada tangkapan dibuat dan siasatan masih dijalankan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Ahmad Taufik berkata, sisik tenggiling adalah bahagian spesies terjadual yang perdagangan antarabangsanya dikawal dan memerlukan permit sah daripada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.
Katanya, rampasan berkenaan akan diserahkan kepada JHL dan kes disiasat di bawah Seksyen 10 Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686).
“Ini adalah rampasan pertama berkaitan sisik tenggiling yang dibuat tahun ini. Kita akan terus melakukan operasi dari semasa ke semasa untuk menangani sebarang aktiviti yang membabitkan penyeludupan barang larangan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Taufik berkata, JKDM juga merampas 95,080 rokok seludup bernilai kira-kira RM67,000 termasuk cukai dalam dua kes berasingan di Kampung Bariawa, Batu 8 dan Batu 2 1/2 di sini.
Katanya, tiada tangkapan dalam kedua-dua kes dengan rampasan masing-masing dibuat pada 15 dan 16 Jun lalu.
“Sindiket menggunakan kawasan semak dan lokasi tersorok sebagai tempat menyembunyikan sementara rokok seludup untuk mengaburi pihak berkuasa sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu berkaitan pemilikan atau penyimpanan barang larangan.
Ahmad Taufik turut meminta kerjasama orang ramai untuk memerangani jenayah penyeludupan membabitkan rokok, minuman keras, mercun, kenderaan dan dadah kerana ia bukan saja merugikan negara, malah mendatangkan ancaman keselamatan. – Info X