SANDAKAN: Cubaan menyeludup 360 liter minyak petrol bersubsidi berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas menahan sebuah bot dalam operasi di perairan Sungai Sabine, di sini, semalam.
Bagaimanapun, dua lelaki yang dipercayai kru bot berjaya meloloskan diri apabila bertindak terjun ke kawasan bakau sebelum melarikan diri ke dalam hutan sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa.
Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Suhairy Hussain berkata, kejayaan itu hasil rondaan dan pemantauan berterusan Bot Peronda Maritim Malaysia yang melaksanakan Op Sejahtera, Op Cegah PATI (OCP) dan Op Tiris 4.0.
Katanya, bot berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan kira-kira 0.05 batu nautika di barat laut Sungai Sabine sebelum dipintas untuk pemeriksaan.
“Ketika pasukan operasi menghampiri bot tersebut, dua lelaki yang dipercayai kru bot bertindak terjun ke kawasan bakau sebelum melarikan diri ke dalam hutan bagi mengelak ditahan.
“Hasil pemeriksaan menemui 18 jerican disyaki mengandungi minyak petrol bersubsidi dengan anggaran keseluruhan 360 liter. Turut ditemukan dua enjin sangkut Yamaha masing-masing berkuasa 40 kuasa kuda dan 15 kuasa kuda,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bot bersama muatan berkenaan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa permit atau kebenaran yang sah.
Selain itu, katanya, bot berkenaan turut disyaki melanggar Peraturan 12 Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana menyalahgunakan lesen dengan membawa barangan kargo.
“Semua barang rampasan bersama bot dianggarkan bernilai RM23,300 dan telah dibawa ke Jeti Maritim Zon Sandakan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya.
Suhairy berkata, cubaan sindiket menjalankan kegiatan penyeludupan pada waktu siang membuktikan mereka sentiasa mencari peluang untuk mengaburi pihak berkuasa.

Menurutnya, Maritim Malaysia akan terus mempertingkat rondaan dan operasi penguatkuasaan secara berterusan tanpa mengira masa bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyeludupan yang menjejaskan keselamatan negara serta menyebabkan ketirisan barang kawalan bersubsidi.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera,” katanya. – Info X