Search

Anak lihat bapa dibaham buaya ketika cuci bot

July 17, 2026

Info X Reporters

KINABATANGAN: Seorang anak berdepan detik paling mengerikan apabila melihat bapanya dipercayai dibaham seekor buaya sebelum mangsa hilang dari pandangan ketika mereka mencuci bot di Kampung Batu Putih, di sini, petang tadi.

Mangsa, Rusli Mardin, 57, sehingga kini masih belum ditemukan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Suriyadi Darnis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.31 petang sebelum menggerakkan enam anggota ke lokasi yang terletak kira-kira 30 kilometer dari balai.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba dimaklumkan mangsa dipercayai dibaham seekor buaya ketika menjalankan aktiviti mencuci bot bersama anaknya.

“Mengikut keterangan saksi yang juga anak mangsa, dia melihat bapanya dibaham seekor buaya sebelum mangsa hilang daripada pandangan.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah water surface searching di kawasan kejadian,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, operasi bagaimanapun terpaksa ditangguhkan pada jam 8.45 malam berikutan keadaan yang semakin gelap sehingga menyukarkan usaha pencarian.

“Operasi SAR akan disambung semula pagi esok bagi mengesan mangsa,” katanya.

Operasi turut dibantu empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lima anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). – Info X