Search

Lelaki yang dilaporkan dibaham buaya ditemukan maut

July 18, 2026

Info X Reporters

KINABATANGAN: Seorang lelaki yang dilaporkan dibaham buaya ketika mencuci bot di Sungai Kampung Batu Putih, di sini, petang semalam, ditemukan meninggal dunia awal pagi tadi.

Mangsa, Rusli Mardin, 57, ditemukan oleh orang awam kira-kira 500 meter dari lokasi dia dipercayai disambar reptilia berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Suriyadi Darwis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.31 petang semalam sebelum menggerakkan enam anggota ke lokasi.

“Menurut saksi yang juga anak mangsa, mereka sedang mencuci bot sebelum mangsa tiba-tiba dibaham seekor buaya dan hilang dari pandangan.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di permukaan sungai menggunakan kaedah water surface searching, namun operasi ditangguhkan pada jam 8.45 malam berikutan keadaan gelap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi SAR disambung semula pagi tadi, namun pihaknya dimaklumkan orang awam menemui mangsa pada jam 4.45 pagi.

“Mangsa ditemui kira-kira 500 meter ke hilir dari lokasi kejadian dengan anggota badan masih lengkap, namun terdapat kesan gigitan pada bahagian perut dan leher sebelah kanan.

“Pasukan bomba membantu mengangkat mayat mangsa dari tebing sungai ke rumah mangsa sebelum disahkan meninggal dunia oleh polis dan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Operasi yang turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan RELA ditamatkan sepenuhnya pada jam 8 pagi selepas semua tugas selesai,” katanya. – Info X