Search

Polis giat buru suspek curi kabel di Papar

July 18, 2026

Info X Reporters

PAPAR: Polis sedang giat mengesan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian kabel yang dilaporkan berlaku di sekitar Jalan Takis Hospital, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 2.27 pagi daripada saksi awam.

Katanya, saksi mendapat melihat sebuah kereta Perodua Bezza berwarna putih dalam keadaan mencurigakan sedang mengheret seutas kabel sepanjang kira-kira enam meter.

“Dua orang saksi cuba memberhentikan kenderaan berkenaan, namun suspek bertindak memecut dan melarikan diri melalui beberapa jalan utama sebelum menghala ke kawasan Benoni.

“Sepanjang kejadian, tiada kemalangan, kecederaan mahupun kerosakan terhadap harta benda awam dilaporkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, hasil tindakan pantas polis, kenderaan yang dipercayai digunakan suspek berjaya dikesan ditinggalkan di bahu Jalan Kampung Buang Sayang, di sini.

“Siasatan awal mendapati pemilik berdaftar kenderaan itu telah menyerahkannya kepada seorang ejen kereta sewa sebelum ia disewakan kepada suspek.

“Pihak polis sudah memperoleh imej suspek dan kini sedang memperhebatkan usaha memburu bagi membantu siasatan.

“Siasatan turut mendapati kabel yang dibawa dipercayai milik sebuah syarikat utiliti atau syarikat telekomunikasi. Bagaimanapun, lokasi sebenar kejadian kecurian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” tegasnya.

Sehubungan itu, Heryan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai identiti atau lokasi suspek diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Polis turut menyeru kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat bagi membantu mengesan suspek dan memastikan individu yang terlibat dibawa ke muka pengadilan,” tegasnya. – Info X