Search

Dua ditahan, CPO lebih RM400,000 dirampas

July 18, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Cubaan menyimpan minyak sawit mentah (CPO) tanpa lesen tumpas apabila Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menyerbu sebuah premis di Kampung Nasib Kita, Balung, di sini, semalam.

Dalam serbuan itu, dua individu ditahan bagi membantu siasatan selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti penyimpanan CPO tanpa lesen yang sah.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi itu turut membawa kepada rampasan sebuah lori 38 tan yang membawa kira-kira 30,000 liter CPO.

Katanya, pihaknya turut merampas beberapa tong dram yang mengandungi minyak sawit mentah dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan melebihi RM400,000.

“Hasil pemeriksaan mendapati CPO berkenaan disyaki disimpan tanpa lesen sah yang dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

“Dua individu yang berada di premis berkenaan ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Peraturan 5(1)(d), Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Perlesenan) 2005 di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582) kerana menyimpan minyak sawit tanpa lesen yang sah.

Ahmad Amri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperkukuhkan operasi penguatkuasaan bersama MPOB serta agensi berkaitan bagi membanteras sebarang aktiviti menyalahi undang-undang yang menjejaskan industri sawit negara.

“PPM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti penyimpanan atau urus niaga minyak sawit tanpa mematuhi peraturan ditetapkan.

“Kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa akan terus dipertingkatkan bagi memastikan industri sawit negara terus dilindungi daripada kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya. – Info X