Search

Warga emas ditahan disyaki rogol wanita OKU

July 18, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang warga emas ditahan polis selepas disyaki merogol seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang menghidap gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) dalam kejadian di daerah ini.

Suspek warga tempatan berusia 66 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Ranggu, Batu 10, Jalan Apas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, penahanan dibuat susulan laporan polis yang diterima daripada seorang pengadu.

Beliau berkata, pengadu membuat laporan selepas dimaklumkan anak angkatnya bahawa mangsa mengalami kesakitan pada tubuh badan.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan sebelum pemeriksaan doktor mendapati wanita itu dipercayai menjadi mangsa rogol.

“Mangsa juga merupakan seorang individu OKU yang menghidap ADHD,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bertindak atas maklumat dan hasil siasatan, polis berjaya menahan suspek bagi membantu siasatan.

“Polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan, antaranya sehelai baju-T berkolar, seluar jeans, topi serta beberapa barangan lain.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan,” katanya.

Wilynton turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan, selain menghormati privasi mangsa serta keluarganya. – Info X