LAHAD DATU: Polis menahan enam lelaki termasuk tiga remaja menerusi beberapa siri tangkapan bagi membantu siasatan kes pecah rumah, curi dan curi motosikal di sekitar daerah ini.
Semua suspek berusia antara 15 hingga 53 tahun ditahan dalam operasi berasingan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, antara 15 hingga 17 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Zulbaharin Ismail berkata, tangkapan pertama pada 15 Julai membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun dan seorang lelaki warga asing berusia 32 tahun.
Katanya, kedua-dua suspek dipercayai terbabit dalam beberapa kes pecah rumah dan curi di sekitar Taman Aman, Taman Aman Jaya 3, Taman Gembira, Taman Harapan serta Kampung Sharip.
“Susulan maklumat daripada tangkapan berkenaan, polis berjaya menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 26 tahun pada 17 Julai.
“Suspek dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah dan curi di kawasan perumahan Palm Height, Lahad Datu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, sebuah Perodua Axia yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kegiatan jenayah turut dirampas ketika tangkapan dilakukan.
Dalam operasi berasingan, Zulbaharin berkata, polis turut menahan dua remaja lelaki berusia 15 dan 16 tahun selepas mereka didapati memiliki sebuah motosikal yang diubah suai tanpa memberikan keterangan munasabah.
Katanya, seorang lagi remaja lelaki berusia 17 tahun turut ditahan bersama sebuah motosikal Yamaha C100 yang dilaporkan hilang pada 16 Julai lalu.
“Kesemua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan bagi kesalahan pecah rumah, Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan mencuri motosikal.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 22A(4) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Negeri Sabah berkaitan pemilikan motosikal tanpa memberikan keterangan munasabah,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan berkenaan hasil risikan, siasatan dan tindakan operasi berterusan BSJ IPD Lahad Datu dalam membanteras jenayah harta benda serta memastikan keselamatan masyarakat terus terpelihara.
Katanya, polis tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan jenayah.
“Orang ramai diseru terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah kepada polis bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya. – Info X