Search

Lelaki hilang ketika memukat, dikhuatiri dibaham buaya

July 19, 2026

Info X Reporters

KINABATANGAN: Seorang lelaki hilang dikhuatiri dibaham buaya ketika memukat ikan dalam kejadian di kawasan Estet Global, di Sukau, malam tadi.

Dalam kejadian serangan terbaharu reptilia itu, mangsa, Nasran Matzen, 57, bersama dua rakannya dipercayai pergi ke sungai berhampiran kawasan ladang itu untuk memukat sebelum mangsa dikatakan tiba-tiba hilang dari pandangan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Suriyadi Darwis, berkata
berdasarkan maklumat rakan mangsa, mereka menjalankan pencarian di kawasan terakhir mangsa dilihat sebaik mendapati mangsa hilang, namun hanya menemui cebisan organ badan dan seluar mangsa.

Katanya, bomba menerima laporan mengenai kejadian itu daripada pihak polis pada 10.23 pagi tadi sebelum menghantar empat anggota ke lokasi kejadian.

“Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan bersama agensi keselamatan lain dan penduduk kampung menggunakan kaedah pencarian di atas permukaan air.

“Operasi mencari dilakukan dalam lingkungan satu kilometer, namun setakat ini mangsa belum ditemui,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kejadian serangan buaya terbaharu itu berlaku selang sehari selepas seorang mangsa yang dilaporkan ditemui dengan kesan gigitan buaya pada perut dan leher, Rusli Mardin, 57, dalam kejadian di Kampung Batu Putih, di sini.

Rusli dilaporkan hilang pada Jumaat lalu selepas dipercayai dibaham buaya ketika mencuci bot di Sungai Kinabatangan.

Suriyadi berkata, operasi dihentikan padaa jam 2.50 petang tadi selepas perbincangan bersama pihak polis dan akan disambung semula esok. – Info X