KOTA KINABALU: Penjanaan tenaga boleh baharu di Sabah disasar meningkat kepada 1,200 MegaWatt (MW) pada 2030, berbanding 307 MW yang dijana pada masa ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sasaran itu mewakili 37 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan tenaga negeri, berbanding hanya 16 peratus ketika ini.
Beliau berkata, sasaran penjanaan tenaga boleh baharu itu mampu dicapai menerusi beberapa projek yang sedang dan akan dilaksanakan antara tahun ini hingga 2030.
“Bagi meningkatkan kapasiti itu, beberapa projek strategik sedang dan akan dilaksanakan, antaranya, projek Solar Berskala Besar (LSS) berjumlah 450 MW yang merangkumi 200 MW yang kini dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka siap pada hujung 2026 hingga awal 2027 serta tambahan 250 MW yang sedang melalui proses bidaan dan disasarkan siap pada 2028,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Datuk Arthur Joseph Kurup (BN-Sook) mengenai hala tuju kerajaan negeri dalam meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2030.
Hajiji berkata, kerajaan negeri turut melaksanakan projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 200 MW / 400 MW perjam yang kini dalam proses bidaan dan dijangka siap pada 2028, diikuti projek penjanaan tenaga angin berkapasiti 100 MW yang dijangka siap pada 2029.
Selain itu, katanya Projek Hidroelektrik Upper Padas berkapasiti 187 MW dan Projek Hidroelektrik Oriole Padas berkapasiti 162 MW yang dijangka siap pada 2030 juga sedang dilaksanakan.
“Dengan pelaksanaan projek-projek itu secara berfasa, kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu di Sabah dijangka meningkat kepada sekitar 1,200 MW menjelang 2030, bersamaan kira-kira 37 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan negeri.
“Selanjutnya, kerajaan negeri yakin sasaran 50 peratus pada 2035 dapat dicapai melalui projek tenaga boleh baharu yang telah dikenal pasti sambil memastikan bekalan elektrik Sabah kekal mencukupi, stabil dan berdaya harap serta mampu milik selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negeri,” katanya.
Hajiji berkata, projek tenaga boleh baharu di Sabah dilaksanakan melalui inisiatif strategik di bawah Pelan Induk Tenaga Negeri, Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 (SE-RAMP 2040) yang menetapkan hala tuju jelas untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu dalam campuran kapasiti penjanaan tenaga negeri dengan sasaran mencapai 50 peratus menjelang 2035. – Info X