KOTA KINABALU: Pengalihan utiliti, khususnya pemindahan tiang elektrik dikenal pasti antara faktor yang memberi kesan kepada kemajuan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata selain tiang dan aset elektrik, turut menjejaskan kelancaran projek itu ialah pengalihan kabel telekomunikasi dan aset utiliti lain yang berada dalam jajaran pembinaan.
Katanya, pengalihan utiliti menjadi komponen kritikal kerana kerja-kerja pembinaan tidak dapat dilaksanakan di kawasan yang masih mempunyai utiliti sedia ada atas faktor keselamatan, risiko gangguan bekalan dan kerosakan infrastruktur utiliti.
“Oleh itu, utiliti perlu dialihkan terlebih dahulu sebelum kerja-kerja pembinaan dapat diteruskan,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan DUN Sabah, di sini, pada Isnin.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti menjawab soalan Datuk Ir Chin Shu Ying (ADUN Dilantik) mengenai penyebab utama kelewatan penyiapan Projek LPB dan langkah yang diambil untuk mengatasinya.
Dr Joachim, berkata proses pengalihan utiliti bukan sekadar melibatkan pemindahan aset, malah merangkumi pengesahan kedudukan utiliti, penyediaan reka bentuk, kelulusan teknikal, penyediaan koridor utiliti, penyelarasan dengan pemilik utiliti dan pelaksanaan kerja-kerja pengalihan.
“Sehubungan itu, proses ini memerlukan koordinasi yang rapi antara semua pihak bagi memastikan pengalihan dapat dilaksanakan dengan selamat dan teratur tanpa menjejaskan kesinambungan perkhidmatan kepada pengguna.
“Selain itu, faktor-faktor lain seperti pengambilan tanah, keadaan geoteknik di lokasi tertentu, penyelesaian isu-isu teknikal di tapak serta prestasi pelaksanaan kontraktor turut mempengaruhi kemajuan projek mengikut pakej masing-masing,” katanya.
Bagi menangani isu-isu itu, katanya kerajaan memperkukuh mekanisme penyelarasan melalui Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek LPB dan mesyuarat penyelarasan secara berkala di peringkat tapak.
Jelasnya, isu-isu kritikal yang memerlukan keputusan dasar turut dibawa ke peringkat pengurusan tertinggi seperti Kementerian Kerja Raya, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan bersama Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah bagi mempercepatkan proses penyelesaian dan mengurangkan impak terhadap pelaksanaan projek.
Katanya, sebagai langkah penambahbaikan bagi pelaksanaan projek infrastruktur pada masa depan, kerajaan memberi penekanan kepada pelaksanaan kerja-kerja awalan, khususnya penyediaan reka bentuk terperinci, pengambilan tanah dan pengalihan utiliti sebelum projek pembinaan dimulakan.
“Pendekatan ini membolehkan isu-isu pelaksanaan dikenal pasti dan diselesaikan lebih awal, sekali gus mengurangkan risiko kelewatan semasa fasa pembinaan.
“Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan setiap pakej Projek LPB Sabah secara berterusan bagi memastikan projek ini dapat disiapkan dengan teratur, berkualiti dan memberi manfaat kepada rakyat serta pembangunan Negeri Sabah,” katanya.- Info X