KOTA KINABALU: Status kawasan tanah Skim Nabawan masih dalam proses penilaian dan penyelesaian susulan dialog dengan penduduk terbabit pada April lalu.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata beliau mengadakan sesi dialog bersama sebahagian besar penduduk kawasan itu pada 21 April lalu.
Katanya, dialog itu turut dihadiri ADUN Nabawan dan pimpinan masyarakat di daerah itu.
“Susulan daripada sesi dialog tersebut, MAFFI bersetuju untuk menubuhkan dua jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Tanah Skim Nabawan yang dipengerusikan Pegawai Daerah Nabawan dan Jawatankuasa Induk Pembangunan Tanah Skim Nabawan yang dipengerusikan Setiausaha Tetap MAFFI,” katanya pada sesi soal jawab lisan Persidangan DUN Sabah, di sini, pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (GRS-Nabawan) mengenai status terkini kawasan tanah SKIM Nabawan untuk diberikan hak pemilikan atau geran tanah kepada penduduk kampung di kawasan itu.
Jamawi berkata, peranan Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Tanah Skim Nabawan ialah untuk membuat penilaian dan persempadanan semula terhadap keseluruhan kawasan Tanah Skim Nabawan, termasuk kawasan yang sudah diusahakan serta kawasan tanah yang belum dibangunkan.
“Melalui proses ini, jawatankuasa akan mengenal pasti kawasan tanah skim yang telah dibuka dan diusahakan oleh penduduk setempat, termasuk kawasan penempatan dan kampung yang berada dalam lingkungan Tanah Skim Nabawan.
“Seterusnya, hasil penilaian tersebut akan disediakan dalam bentuk pemetaan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Induk Pembangunan Tanah Skim Nabawan yang dipengerusikan oleh Datuk SUT untuk pertimbangan serta tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata keputusan Jawatankuasa Induk Pembangunan Tanah Skim Nabawan akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan kelulusan.
“Kementerian kami amat komited untuk menyelesaikan masalah ini yang telahpun berlanjutan lebih 58 tahun sejak ianya ditubuhkan,” katanya.- Info X