KOTA KINABALU: Dianggarkan antara 10,000 hingga 25,000 penduduk di sekitar daerah Putatan terkesan teruk berikutan kegagalan fungsi sistem agihan air, terutama pada waktu puncak.
Mendedahkan perkara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya, mahu Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) membelanjakan peruntukan secara bersasar untuk Putatan.
Katanya, peruntukan kira-kira RM201 juta diagihkan kepada JANS menerusi Perbekalan Tambahan 2026 yang dibentangkan di DUN Sabah pada Isnin, sangat kritikal untuk daerah Putatan.
“Saya merujuk kepada Jadual Kepala S 34: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang menerima peruntukan tambahan terbesar, iaitu sebanyak RM201,031,812. Bagi rakyat Tanjung Keramat, peruntukan ini sangat kritikal.
“Masalah gangguan bekalan air dan tekanan air rendah di kawasan
seperti Kampung Meruntum, Ketiau, Muhibbah, Kampung Contoh, Taman Pantai Lok Kawi, Pasir Putih dan kawasan sekitar Tanjung Keramat adalah isu lapuk yang amat menyusahkan kehidupan harian penduduk.
“Dianggarkan antara 10,000 hingga 25,000 penduduk di sekitar daerah Putatan terkesan teruk apabila sistem agihan air gagal berfungsi, terutamanya pada waktu puncak,” katanya ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 pada Persidangan DUN Sabah, pada Isnin.
Shah Alfie berkata, walaupun kerajaan melaksanakan langkah jangka pendek seperti peluasan kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) Kasigui, namun isu penstabilan tekanan dalam rangkaian paip agihan di Putatan belum dapat diselesaikan sepenuhnya.
“Justeru, dengan adanya peruntukan tambahan RM201 juta ini, saya menggesa Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah serta Jabatan Air Negeri Sabah untuk memastikan dana ini dibelanjakan secara bersasar bagi kawasan Putatan.
“Tuntutan saya adalah jelas:
Yang pertama, Gantikan paip-paip lama yang sudah usang dengan
segera. Yang Kedua, baiki dan selenggara sistem pam penggalak yang rosak.
“Kemudian yang ketiga, berikan satu garis masa yang jelas kepada kami, bilakah tekanan air di kampung-kampung ini akan stabil dan pulih sepenuhnya?
“Selain itu, saya menuntut agar JANS bersikap lebih proaktif dan sentiasa bersiap siaga dalam menangani isu air yang menjadi keluhan utama rakyat di Tanjung Keramat dan seluruh daerah Putatan.
“JANS mesti bertindak pantas untuk menyelesaikan setiap aduan yang diterima. Pastikan pegawai bertugas di peringkat daerah sentiasa mudah dihubungi danbersedia turun padang apabila krisis berlaku.
“Rakyat mahu melihat peruntukan ratusan juta yang kita luluskan ini diterjemahkan kepada hasil kerja yang efisien, cepat dan berimpak nyata di lapangan,” katanya. – Info X