Search

Mengamuk tidak dapat wang, lelaki positif dadah ditahan

July 20, 2026

Info X Reporters

BEAUFORT: Berang selepas tidak diberikan wang oleh ibunya, seorang lelaki bertindak mengamuk dan mengugut ahli keluarga sebelum dipercayai menampar anak saudaranya dalam kejadian di daerah ini.

Suspek berusia 25 tahun itu kemudiannya ditahan polis sebelum hasil saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, lelaki tempatan berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut susulan kejadian terbabit.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengamuk selepas berang apabila ibunya enggan memberikan wang kepadanya.

“Suspek kemudian dipercayai bertindak mengugut ahli keluarga selain menampar anak saudaranya.

“Saringan awal air kencing yang dijalankan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Beaufort mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal turut mendapati suspek dipercayai seorang penagih syabu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek ditahan untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, IPD Beaufort akan terus memperhebat usaha membanteras penyalahgunaan dadah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan atau pengedaran dadah turut digesa menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu tindakan penguatkuasaan,” katanya. – Info X