KOTA KINABALU: Bina Rumah Kasih Rakyat atau perumahan mampu milik dan bukan kondominium atau pusat beli belah di tapak rumah pangsa Tanjung Aru.
Perkara itu adalah antara tiga isu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Datuk Junz Wong ketika Persidangan DUN Sabah, di sini, pada Isnin.
Pemimpin Parti Warisan itu berkata, penduduk asal perumahan itu juga perlu diberi peluang untuk terus tinggal di kawasan sendiri melalui penyediaan rumah mampu milik.
“Saya ingin memohon agar Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan kepada LPPB supaya tapak Rumah Pangsa Tanjung Aru dibangunkan sebagai Rumah Kasih Rakyat atau perumahan mampu milik untuk rakyat Sabah, bukannya projek komersial seperti pusat beli-belah atau kondominium mewah.
“Penduduk asal kawasan tersebut telah banyak berjasa membangunkan komuniti Tanjung Aru. Mereka seharusnya diberikan peluang untuk terus tinggal di kawasan sendiri melalui penyediaan rumah mampu milik yang selesa, selamat dan berkualiti.
“Pembangunan yang sebenar ialah pembangunan yang tidak meminggirkan rakyat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 sempena Persidangan DUN, pada Isnin.
Dua lagi isu dibangkitkannya berkaitan pempasan tanah Sembulan dan keuzuran jambatan Kampung Tanjung Aru.
Isu pampasan tanah di Sembulan, katanya sudah berlarutan sekian lama dan masih menjadi persoalan kepada ramai penduduk yang terlibat.
“Ramai yang masih menunggu penyelesaian yang adil dan telus. Oleh itu, saya memohon agar Kerajaan Negeri memberikan penjelasan mengenai status terkini pembayaran pampasan tanah di Sembulan.
“Garis masa penyelesaiannya serta langkah-langkah yang sedang diambil bagi memastikan hak rakyat yang terjejas dipelihara,” katanya.
Mengenai isu jambatan Kampung Tanjung Aru Lama, Junz berkata keadaan jambatan konkrit yang menjadi laluan harian penduduk setempat itu semakin membimbangkan.
“Demi keselamatan pengguna, saya memohon supaya Kerajaan Negeri memperuntukkan dana dan mengambil tindakan segera untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan, pengukuhan atau penggantian struktur jambatan tersebut sebelum berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya. – Info X