LABUAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyimpanan rokok tidak bercukai selepas menyerbu sebuah rumah yang dijadikan stor di Kampung Sungai Keling, di sini, hari ini.
Dalam operasi yang dijalankan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan itu, seorang lelaki tempatan dipercayai penjaga stor ditahan bagi membantu siasatan.

Komander Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pemeriksaan di premis berkenaan menemukan 396,240 batang rokok disyaki tidak bercukai daripada pelbagai jenama.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM500,000.
“Suspek bersama semua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta penyimpanan barangan tidak bercukai yang menjejaskan hasil negara.
Sehubungan itu, beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau jenayah kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil dengan lebih berkesan. – Info X