Search

Bekas isteri cedera dibelasah, lelaki warga asing ditahan

July 21, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki menyerang bekas isterinya sehingga cedera dalam kejadian di Kampung Sri Menanti, di sini, bulan lalu.

Suspek berusia 40-an ditahan kira-kira jam 2.45 petang semalam di kawasan Kampung Jawa hasil risikan dan maklumat susulan laporan polis yang dibuat mangsa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 malam pada 27 Jun lalu ketika mangsa berusia 30-an berada di kediamannya.

Katanya, suspek dipercayai menyerang bekas isterinya dengan menumbuk bahagian mata kiri sebelum menendang beberapa bahagian badan mangsa.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan dan kesakitan sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata, suspek kemudian berjaya dikesan sebelum ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Wilynton berkata, polis memandang serius setiap kes keganasan rumah tangga dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang bertindak ganas sehingga mendatangkan kecederaan.

Katanya, orang ramai yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga atau mempunyai maklumat berkaitan jenayah diminta segera tampil membuat laporan di balai polis berhampiran atau menghubungi talian hotline IPD Tawau di 089-772121. – Info X