PAPAR: Seorang lelaki maut selepas basikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 35, Jalan Kimanis – Keningau, lebuh raya Pan Borneo, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, mangsa berusia 51 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, kemalangan membabitkan sebuah Perodua Axia dipandu wanita berusia 28 tahun dan basikal ditunggang mangsa.
Katanya, siasatan awal mendapati penunggang basikal dipercayai memasuki laluan kereta berkenaan secara tiba-tiba sebelum berlaku pelanggaran.
“Akibat kemalangan itu, penunggang basikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Pemandu kereta pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Heryan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Papar untuk proses bedah siasat, manakala kereta dan basikal terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar bagi pemeriksaan lanjut.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Papar atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X