Search

Bayi perempuan ditemukan dalam semak, polis buru ibu kandung

July 21, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang bayi perempuan dipercayai ditinggalkan ditemukan di kawasan semak berhampiran sebuah rumah di Kampung Jawa, di sini, pagi tadi.

Bayi berkenaan ditemukan seorang lelaki kira-kira jam 6 pagi sebelum dia menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan.

Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Tawau bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan menerima rawatan lanjut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, pihaknya menerima dua laporan polis berhubung penemuan bayi berkenaan.

Katanya, polis kini giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti ibu kandung bayi terbabit serta individu yang bertanggungjawab meninggalkannya di lokasi berkenaan.

“Polis sedang mengesan saksi selain mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian sekiranya ada.

“Semakan dengan pihak hospital dan klinik kesihatan turut dilakukan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wilynton berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Robiatul Adawiyah Japri di talian 016-918 9402 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang bertindak pantas membantu menyelamatkan bayi berkenaan serta menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan. – Info X