Search

Warga emas maut dirempuh pacuan empat roda

July 21, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Seorang warga emas maut selepas dirempuh sebuah pacuan empat roda ketika berjalan kaki di Jalan Bundusan, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa lelaki berusia 77 tahun tercampak ke dalam longkang di bahu jalan dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati pacuan empat roda berkenaan dipandu lelaki tempatan berusia 52 tahun dari arah Jalan Bundusan menuju ke Taman Adamas.

Katanya, kenderaan itu dipercayai terlanggar mangsa yang ketika itu sedang berjalan kaki di kawasan berkenaan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke dalam longkang di bahu jalan dan mengalami kecederaan parah.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat.

Sammy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Penampang atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Saparia Landon di talian 019-809 5133 bagi membantu siasatan. – Info X