Search

Sidang DUN: Bina sekurang-kurangnya laluan motosikal di Saliliran – Abdul Ghani

July 21, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri dicadang untuk sekurang-kurangnya membina laluan motosikal bagi memudahkan urusan penduduk kampung terpencil di Nabawan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin, berkata ketika ini dua kampung terpencil di daerah itu, iaitu Saliliran dan Kabu tidak dapat dihubungi dengan jalan raya.

“Saya juga ingin menarik perhatian dewan yang mulia ini mengenai isu dua buah kampung terpencil di daerah Nabawan iaitu, Kampung Saliliran dan Kampung Kabu dan beberapa buah kampung yang melaluinya untuk sampai ke dua buah kampung itu yang masih belum mempunyai jalan raya perhubungan sejak Merdeka lagi.

“Oleh yang demikian, saya mencadangkan agar Kerajaan Negeri sekurang-kurangnya membina laluan motosikal dari Kampung Sinapar ke Kampung Saliliran sepanjang lebih kurang 10 kilometer dan dari Kampung Saliliran ke Kampung Kabu sepanjang 20 kilometer,” katanya.

Beliau membangkitkan perkara itu ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 pada Persidangan DUN, di sini, pada Selasa.

Selain itu, beliau mengutarakan mengenai penyelenggaraan jalan di bawah tanggungjawab syarikat konsesi dan kontraktor.

Katanya, masih banyak jalan di Nabawan mengalami kerosakan, seperti jalan berlubang, permukaan tidak rata, berlaku runtuhan dan sistem saliran yang kurang diselenggara.

“Saya berpandangan bahawa kontraktor yang telah diberikan amanah perlu dipantau dengan lebih tegas. Kerajaan perlu memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan dengan penuh integriti dan menghasilkan kerja yang berkualiti,” katanya.

Sementara itu, Abdul Ghani turut membangkitkan status cadangan pembinaan Pekan Baharu Nabawan yang disifatkan perlu sejajar potensi daerah itu dalam sektor pertanian, pelancongan dan perusahaan kecil.

Berikutan itu, katanya pembangunan fizikal perlu bergerak seiring dengan pembangunan ekonomi.

“Persoalan saya, apakah pihak kerajaan melalui agensi kerajaan ada membuat sebarang perancangan mengenai perkara ini dan apakah status serta tindakan pihak berwajib setakat ini,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut menyuarakan keperluan internet di Nabawan terutama di sekolah, berikutan banyak sekolah terpencil di daerah itu berdepan masalah berkenaan.

“Masih terdapat sekolah-sekolah di ceruk kawasan kampung terpencil yang berhadapan dengan masalah capaian internet, kemudahan asas yang daif, bekalan elektrik yang tidak stabil dan kekurangan infrastruktur pembelajaran.

“Dalam era digital hari ini, akses internet bukan lagi satu kemewahan tetapi satu keperluan asas pendidikan.

“Saya berharap kerajaan dapat memberi keutamaan kepada sekolah-sekolah pedalaman supaya anak-anak Sabahmempunyai peluang pendidikan yang sama rata dan tidak terus ketinggalan,” katanya. – Info X