Search

Lelaki maut tersepit dalam kemalangan dua kenderaan

July 22, 2026

Info X Reporters

BEAUFORT: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di lebuh raya Pan Borneo di Kampung Lumat, di sini, pagi ini.

Mangsa berusia 45 tahun yang tersepit di dalam kereta berjaya dikeluarkan anggota bomba menggunakan peralatan khas menyelamat sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.55 pagi sebelum lapan anggota bersama jentera FRT dan EMRS digerakkan ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba, pasukan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Proton Saga dan Toyota Hilux Double Cab yang masing-masing dipandu seorang lelaki.

“Pemandu Proton Saga didapati tersepit di dalam kenderaan dan anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas penyelamatan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemandu Toyota Hilux berusia 53 tahun pula tidak tersepit dan berjaya keluar sendiri dari kenderaannya tanpa mengalami kecederaan.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Operasi yang turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM ditamatkan pada jam 9.38 pagi selepas lokasi dipastikan selamat. – Info X