KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sentiasa mengamalkan dasar fiskal yang berhemat dan berdisiplin dengan memastikan setiap perbelanjaan dibuat berdasarkan kemampuan kewangan negeri.
Menegaskan perkara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata Belanjawan Sabah dirangka berasaskan unjuran hasil yang realistik bagi memastikan kerajaan terus mencatat lebihan belanjawan atau surplus budget’.
“Jumlah keperluan sebenar bagi menampung perbelanjaan Perbekalan dan Pembangunan untuk tahun 2026 adalah sebanyak RM7.97 bilion, sedangkan hasil yang diunjurkan hanyalah sekitar RM6.4 bilion.
“Dalam merangka Belanjawan 2026, Kementerian Kewangan mengambil pendekatan berhemah dengan memastikan perbelanjaan tidak melebihi kemampuan
hasil negeri,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan Sabah 2026 bagi Kementerian Kewangan pada Persidangan DUN, Selasa.
Masidi yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata prinsip ‘Spend what you have, not what you don’t have’ menjadi pegangan Kerajaan Sabah dalam mengurus kewangan negeri.
“Disiplin kewangan inilah yang telah membolehkan kerajaan meningkatkan rizab negeri kepada lebih RM7 bilion pada akhir 2025.
“Sebagai perbandingan, pada tahun 1998 baki Akaun Hasil Disatukan hanyalah sekitar RM70 juta. Melalui pengurusan kewangan yang berdisiplin dan berhemah, jumlah tersebut telah meningkat kepada RM7.6 bilion pada akhir 2025,” katanya.
Beliau berkata pendekatan yang sama juga digunakan kerajaan negeri dalam menimbangkan permohonan Tambahan Peruntukan, iaitu dengan mengambil kira unjuran hasil terkini sebelum menentukan jumlah tambahan yang wajar disyorkan.
Katanya, sebarang peningkatan
kutipan hasil akan dijadikan asas dalam menentukan tambahan peruntukan sehingga penghujung tahun kewangan, sekali gus membolehkan kerajaan menyediakan anggaran perbelanjaan yang lebih realistik, mengekalkan lebihan belanjawan dan terus memperkukuh rizab negeri.
“Hasrat Kerajaan Sabah adalah jelas, iaitu untuk membina sebuah Kerajaan Negeri yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, berdikari dan berdaya tahan, supaya pembangunan Sabah dapat dilaksanakan secara mampan tanpa terlalu bergantung kepada ihsan Kerajaan Persekutuan,” katanya. – Info X