KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan menuntut jawapan dan tindakan tegas kerajaan berhubung pelbagai isu yang berlaku di kawasannya, termasuk masalah air, pendatang tanpa izin (PTI) dan setinggan.
Beliau membangkitkan perkara itu ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Selasa, sambil menegaskan masalah itu perlu tindakan segera kerajaan.
Katanya, masalah air yang serius antaranya dialami penduduk Kampung Suang Parai, di sini dengan 15 hari tidak menerima bekalan baru-baru ini, menyebabkan penduduk berdepan kesukaran yang berpanjangan.
Beliau berkata, penempatan itu sah diduduki warganegara, justeru isu air tidak seharusnya dibiarkan berlarutan kerana ia adalah keperluan asas rakyat yang perlu disediakan dengan sebaik mungkin oleh kerajaan.
“Saya ingin mendapat satu jawapan pasti daripada pihak kerajaan kerana kita sudah terlalu lama membiarkan isu seumpama ini, termasuk masalah pendatang asing tanpa izin,” katanya.
Beliau turut membangkitkan isu koloni setinggan yang semakin berleluasa di Karambunai, termasuk kawasan belakang Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan bersebelahan Kampung Suang Parai yang menurutnya perlu ditangani secara menyeluruh.
Selain itu, katanya masalah ketiadaan air turut berkait dengan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) yang terlalu tinggi, manakala kecurian elektrik dan kabel akhirnya menjejaskan penduduk tempatan di kampung terbabit.
Aliakbar menegaskan kerajaan perlu memberikan penjelasan menyeluruh serta tindakan konkrit terhadap isu berkenaan supaya rakyat tempatan tidak terus menjadi mangsa kelemahan pengurusan dan masalah berlarutan.
Beliau turut mengingatkan kerajaan negeri supaya mengurus setiap ringgit wang rakyat secara amanah.
Pesuruhjaya PAS Sabah itu, berkata ukuran sebenar kebijaksanaan kerajaan ialah hikmah mengurus setiap ringgit yang diamanahkan rakyat, dengan memastikan perbelanjaan dibuat berdasarkan keperluan serta memberikan manfaat kepada rakyat.
Tambahnya, wang kerajaan bukan sekadar angka dalam penyata kewangan kerana setiap ringgit itu datang daripada keringat petani, nelayan, guru, penjawat awam dan peniaga mencari rezeki.
“Setiap sen yang dibelanjakan bukan sahaja akan dipersoalkan oleh rakyat, bahkan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata, perbekalan tambahan bukanlah lesen untuk kerajaan berbelanja tanpa batas, sebaliknya perlu dilaksanakan dengan penuh disiplin, ketelusan serta keutamaan yang jelas demi kepentingan rakyat.
Beliau juga membangkitkan masalah kekurangan tempat letak kenderaan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas sehingga orang awam terpaksa meletakkan kenderaan di bahu jalan.
Katanya, sebahagian pengguna hospital turut dikenakan saman dan kompaun ketika berdepan kesukaran mendapatkan tempat parkir yang selamat untuk pesakit serta keluarga mereka.
“Saya bukan menyalahkan pihak yang memberikan kompaun, tetapi sekurang-kurangnya perlu ada alternatif tempat meletakkan kenderaan dengan baik bagi mereka yang datang ke hospital ini,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan perlu mencari penyelesaian praktikal bagi menyediakan kemudahan parkir yang sesuai supaya pesakit dan keluarga tidak terus terbeban ketika mendapatkan rawatan di hospital. – Info X