KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2026 bernilai RM1.6 bilion pada Selasa selepas dibahas selama dua hari pada Persidangan DUN sejak Isnin lalu.
RUU bagi membolehkan peruntukan tambahan yang bertujuan untuk melicinkan operasi pentadbiran Kerajaan Sabah sehingga akhir 2026 itu dibentangkan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun selaku Menteri Kewangan pada Isnin.
Dalam pembentangannya, Masidi berkata peruntukan tambahan bagi tahun 2026 itu diperlukan bagi membiayai enam kategori perbelanjaan dengan jumlah terbesar untuk Caruman Kepada Kumpulan Wang Berkanun sebanyak RM856 juta atau 53 peratus.
Katanya, ia diikuti kategori kedua untuk Perbelanjaan Operasi sebanyak RM278 juta atau 17 peratus; Kategori ketiga: Perbelanjaan untuk Pelaburan sebanyak RM210 juta atau 13 peratus; Kategori keempat: Perbelanjaan Pentadbiran sebanyak RM162 juta atau 10 peratus; Kategori kelima: Perbelanjaan bagi Pemberian Dalam Negeri sebanyak RM93 juta atau enam peratus; dan Kategori keenam: Peruntukan Khas sebanyak RM13 juta atau satu peratus.
Masidi berkata, Caruman Kepada Kumpulan Wang Berkanun sebanyak RM856 juta tidak melibatkan aliran tunai kerana hanya melibatkan pelarasan perakaunan iaitu transaksi yang hanya melibatkan pindahan peruntukan dalaman ‘Book Transfer’ untuk mematuhi keperluan Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 dan Akta Tatacara Kewangan 1957.
Jelasnya, daripada jumlah yang disyor untuk Pencaruman Kepada
Kumpulan Wang Berkanun itu, sebanyak RM700 juta atau 81.8 peratus adalah sebagai tambahan kepada Kumpulan Wang Pembangunan bagi mengurangkan defisit Akaun Pembangunan.
Beliau berkata, baki sebanyak RM90 juta atau 10.5 peratus pula adalah caruman kepada Kumpulan Wang Amanah Berkanun bagi Pengendalian serta Penyenggaraan Jalan Raya dan Jambatan di seluruh Sabah.
“Selain itu, sebanyak RM66 juta atau 7.7 peratus pula disyor bagi Caruman Kepada Tabung Amanah Khas Kerajaan Negeri untuk pembinaan dan pembaikan infrastruktur asas seperti bekalan air, jalan raya dan utiliti serta Program Pembasmian Kemiskinan seperti pelaksanaan Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR),” katanya.
Peruntukan selebihnya, beliau berkata adalah untuk perbelanjaan lain dengan RM264.24 juta disyorkan bagi perbelanjaan di bawah Perkhidmatan Am Perbendaharaan yang melibatkan RM210 juta untuk Pelaburan Ekuiti, RM22 juta untuk Pemberian Dalam Negeri bagi menampung bayaran pemeriksaan perubatan, pemberian kepada badan-badan keagamaan bukan Islam serta sekolah-sekolah jenis kebangsaan.
“Sebanyak RM13 juta lagi disyor untuk pembersihan perairan pantai Bandaraya Kota Kinabalu dan Semporna serta bagi membiayai permohonan peruntukan yang diterima dari pelbagai kementerian dan jabatan,” katanya.
Selebihnya adalah syor peruntukan tambahan kepada pelbagai kementerian dan jabatan bagi memenuhi keperluan perbelanjaan masing-masing pada tahun ini.
Sementara itu, ketika menggulung perbahasan Kementerian Kewangan pada Selasa, Masidi Anggaran Peruntukan Tambahan atau ASP adalah suatu mekanisme kewangan yang diperuntukkan di bawah tatacara pengurusan kewangan kerajaan.
Katanya, ia bagi membolehkan keperluan perbelanjaan yang belum dapat ditentukan sepenuhnya semasa penyediaan Belanjawan Tahunan, atau keperluan baharu yang timbul selepas belanjawan diluluskan, dipertimbangkan secara teratur, telus dan tertakluk kepada kelulusan DUN.
“Oleh itu, pembentangan ASP pada kali ini tidak seharusnya ditafsirkan sebagai kegagalan atau kelemahan dalam perancangan Belanjawan 2026 yang telah dibentangkan pada bulan Disember 2025. Belanjawan tahunan disediakan selaras dengan dasar, keutamaan, unjuran hasil, keperluan perbelanjaan dan maklumat terbaik yang tersedia pada ketika itu.
“Dalam hal ini, setiap permohonan tambahan perlu melalui proses penelitian dan penilaian berdasarkan keperluan sebenar, prestasi perbelanjaan, kemampuan kewangan kerajaan serta kepentingannya kepada penyampaian perkhidmatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Atas sebab itu, katanya ASP yang dibentangkan mencerminkan keupayaan kerajaan untuk bertindak secara responsif dan bertanggungjawab terhadap perubahan keperluan semasa tanpa mengetepikan prinsip disiplin fiskal, akauntabiliti dan tatakelola kewangan yang baik.
Beliau berharap penjelasan itu dapat memberi pencerahan terhadap persoalan yang dibangkitkan semua ADUN berhubung keperluan peruntukan tambahan berjumlah RM1.612 bilion. – Info X