Search

Sidang DUN: 18 kes kecurian kabel di KK dan Karambunai sejak 2025

July 22, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebanyak 18 kes kecurian kabel dikesan di sekitar Kota Kinabalu dan DUN Karambunai sepanjang tahun lalu hingga Jun tahun ini.

Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Ruddy Awah, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 13 kes dilapor pada tahun lalu, masing-masing tujuh kes di Kota Kinabalu dan enam kes di DUN Karambunai.

Bagi Januari hingga Jun tahun ini, katanya sebanyak lima kes direkodkan iaitu satu kes di Kota Kinabalu dan empat kes di DUN Karambunai.

“Sabah Electricity memandang serius isu kecurian kabel kerana ia bukan saja mengakibatkan kerugian kewangan, malah boleh menjejaskan kebolehpercayaan bekalan elektrik kepada pengguna,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan DUN, di sini, pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Aliakbar Gulasan (PN-Karambunai) jumlah kes kecurian kabel yang berlaku sekitar DUN Karambunai.

Ruddy berkata berdasarkan rekod Sabah Electricity, kecurian kabel membabitkan kabel voltan sederhana (11kV dan 33kV).

Sehubungan itu, katanya Sabah Electricity telah memperkukuhkan langkah-langkah pencegahan melalui rondaan dan pemantauan secara berkala di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko, termasuk menjalankan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan.

Ruddy berkata bagi kawasan DUN Karambunai, dari Januari hingga Jun 2026, sebanyak 35 operasi rondaan dan pemantauan telah dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk mengurangkan kejadian kecurian kabel serta meningkatkan kehadiran penguatkuasaan di lapangan.

Di samping itu, katanya Sabah Electricity turut meningkatkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan komuniti setempat bagi mempercepatkan tindakan terhadap sebarang aktiviti mencurigakan.

“Kerajaan melalui Sabah Electricity akan terus memperkukuhkan usaha-usaha pencegahan, meningkatkan rondaan di kawasan hotspot serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat bagi memastikan keselamatan aset utiliti dan kesinambungan bekalan elektrik kepada rakyat Sabah,” katanya.- Info X