KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tetap dengan pendirian untuk mengekalkan kuasa Jabatan Imigresen negeri sebagai agensi mengawal pintu masuk di Sabah dan mengeluarkan notis Not To Land (NTL).
Ia punca kerajaan negeri membuat keputusan menangguhkan pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Malaysia 2024 (Akta 860) yang terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai, berkata pendirian itu sudah dijelaskan melalui surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Akta AKPS 2024 adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan. Oleh itu, apa yang telah diputuskan dan dilakukan oleh kerajaan negeri adalah mengemukakan pendirian agar pelaksanaan AKPS di negeri Sabah tidak akan menghakis hak autonomi kerajaan negeri di bawah Akta Imigresen.
“Kerajaan Negeri Sabah ingin menegaskan bahawa kuasa imigresen kepada Sabah yang termaktub di bawah Artikel Lima (V) Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah kuasa yang tidak boleh dirunding kerana pelaksanaan penubuhan Malaysia di bawah MA63 tertakluk kepada penggubalan kuasa imigresen Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tamparuli) pada sesi soal jawab Persidangan DUN, di sini, pada Rabu.
Madius bertanya sebab sebenar Kerajaan Sabah menangguhkan pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan 2024.
Joniston berkata, Kerajaan Sabah juga menekankan jaminan perlindungan bahawa kedudukan dari segi perlembagaan mengenai negeri Sabah hendaklah sentiasa terpelihara dan memastikan tiada sebarang penghakisan kepada hak istimewa serta kuasa autonomi Imigresen Sabah dan pihak berkuasa negeri.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Madius sama ada Kerajaan Sabah bersetuju ketika AKPS dibentangkan di Parlimen sebelum ini, Joniston berkata apa yang penting kerajaan negeri akan mempertahankan hak Sabah.
“Dalam konteks AKPS ini kerajaan negeri akan mempertahankan jika ada apa-apa perkara yang melanggar hak kita. Ini penting kerana apa saja hak kita harus dipertahankan,” katanya.- Info X