Search

Sidang DUN: Muzium Tamadun dan Warisan Etnik Dusun Ranau dijangka siap Mac 2027

July 22, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Projek
Muzium Tamadun dan Warisan Etnik Dusun Ranau kini dalam fasa pelaksanaan semula membabitkan peruntukan RM3.5 juta.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal, berkata kerajaan melantik kontraktor baharu bagi meneruskan projek itu yang bermula pada 4 Mac 2025.

Katanya, tempoh pelaksanaan projek berkenaan mengambil masa selama 24 bulan dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2027.

“Kos keseluruhan projek ini adalah sebanyak RM3.5 juta. Sehingga akhir bulan Jun 2026, kemajuan fizikal projek adalah sebanyak 50 peratus dan pelaksanaannya adalah mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Rusdin Riman (KDM-Paginatan) pada sesi soal jawab lisan Persidangan DUN, di sini, pada Rabu.

Dr Andi Md Shamsureezal, berkata kementeriannya komited dalam memastikan projek itu dilaksanakan dengan lancar sejajar kepentingannya sebagai pusat pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya etnik.

“Projek ini juga berpotensi menjadi salah satu tarikan pelancongan berasaskan budaya yang dapat memperkasa ekonomi komuniti setempat.

“Sehubungan itu, pelaksanaan projek ini akan terus dipantau secara berkala oleh kementerian bersama Jabatan Muzium Negeri Sabah bagi memastikan kualiti, kemajuan serta pematuhan kepada spesifikasi yang telah ditetapkan,” katanya.- Info X