KOTA KINABALU: Pekerja dan pengunjung sebuah pasar raya di Kolombong, di sini, bergegas keluar menyelamatkan diri selepas kebakaran tercetus di bahagian medan selera premis berkenaan, hari ini.
Kebakaran dipercayai bermula di bahagian dapur memasak sebuah gerai sebelum api merebak ke sistem pengudaraan (ventilation) bangunan Bataras Hypermarket Kolombong.
Bagaimanapun, tindakan sistem sprinkler automatik bangunan membantu mengawal api daripada terus merebak sebelum pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman sepenuhnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.45 pagi sebelum pasukan pertama tiba empat minit kemudian.
Katanya, operasi membabitkan 45 anggota dengan bantuan BBP Penampang dan BBP Kota Kinabalu.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati kebakaran bermula di dapur memasak sebuah gerai di bahagian medan selera sebelum merebak ke sistem pengudaraan bangunan.
“Kebakaran membabitkan kira-kira 30 peratus sistem berkenaan dan berjaya dikawal daripada terus merebak dengan bantuan sistem sprinkler bangunan,” katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, pasukan bomba kemudian menjalankan pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 122 meter dengan sumber air daripada pili bomba.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal kira-kira jam 12.30 tengah hari dan tiada mangsa dilaporkan terbabit.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.35 petang selepas pemeriksaan dilakukan dan tiada lagi bahaya dikesan di lokasi,” katanya.
Operasi turut mendapat bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity, manakala siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran serta jumlah kerugian. – Info X