TAWAU: Seorang remaja lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan berkaitan penemuan seorang bayi perempuan yang dipercayai ditinggalkan di kawasan semak berhampiran sebuah rumah di Kampung Jawa, di sini, pada Selasa.
Permohonan reman terhadap remaja berumur 17 tahun itu dibuat di Mahkamah Majistret Tawau pada Rabu yang dikemukakan Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Inspektor Robiatul Adawiyah Japri.
Perintah reman sehingga 26 Julai itu dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum bagi membantu melengkapkan siasatan polis, termasuk mengambil sampel Asid Deoksiribonukleik (DNA) daripada suspek.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang bayi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi Selasa, bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan ditemui orang awam di kawasan semak berhampiran sebuah rumah di Kampung Jawa, di sini.
Polis kemudian menahan sepasang remaja di Kampung Jawa, berhampiran lokasi bayi berkenaan ditemui, kira-kira jam 10.40 malam pada hari yang sama.
Pasangan suspek, iaitu seorang remaja perempuan berusia 15 tahun turut ditahan, namun kini masih menerima rawatan di Hospital Tawau. – Info X