KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap sebarang cubaan mengancam keselamatan penduduk di Pantai Timur Sabah.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, laporan mengenai kumpulan atau individu yang mengeluarkan dokumen pengenalan diri Sulu Sultaniyah Darul Islam (SSDI) dengan mengenakan bayaran tertentu adalah membimbangkan berikutan isu tuntutan ke atas Sabah membabitkan pihak yang mendakwa waris kesultanan Sulu.
“Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah sudah menyatakan pihak polis akan menyiasat kes berkaitan SSDI dan kita mengharapkan agar siasatan itu dilakukan dengan cepat serta teliti.
“Warisan mengulangi gesaan betapa perlunya kerajaan negeri dan persekutuan untuk menangani ancaman tuntutan itu dengan serius selain meningkatkan tahap keselamatan di Sabah.
“Kita bukannya mahu menimbulkan kebimbangan tetapi selagi tiada tindakan serius dilakukan, ancaman keselamatan ini akan terus membelenggu rakyat Sabah.
“Pasukan keselamatan kita mestilah sentiasa berwaspada dan tidak mengambil mudah perkara ini.
“Rakyat Malaysia di Lahad Datu terpaksa berhadapan dengan insiden penculikan dan situasi yang mengancam nyawa selama bertahun-tahun sehingga menjejaskan mata pencarian mereka.
“Industri pelancongan antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Sabah namun terjejas teruk disebabkan ancaman keselamatan ini.
“Kita tidak harus melupakan peristiwa tragis pencerobohan Tanduo pada tahun 2013. Peristiwa itu adalah sejarah hitam negara dan kita tidak mahu ia berulang,” katanya dalam kenyataan media.
Mengulas lanjut, Mohd Shafie sekali lagi menggesa agar aspek kawalan dan tahap keselamatan di Pantai Timur Sabah terus diperketatkan.
Menurutnya, insiden terbaharu ini menunjukkan betapa perlunya untuk menempatkan kem tentera di Lahad Datu.
“Kehadiran pasukan keselamatan seperti
tentera dapat mempertingkatkan lagi tahap keselamatan selain dapat membantu Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) untuk memperkukuhkan kawalan di sempadan perairan negara,” katanya. – Info X