TAWAU: Seramai 48 penduduk yang terperangkap dalam kejadian banjir kilat di Kampung Tanjung Batu Keramat di sini berjaya dipindahkan ke sebuah masjid berhampiran yang dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS), awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada jam 3.10 pagi sebelum pasukan pertama tiba di lokasi enam minit kemudian.

Katanya, banjir kilat yang berpunca daripada hujan lebat berterusan turut menjejaskan beberapa kawasan lain iaitu Taman Ria 1, Taman Hot Spring, Perumahan Taman Sunshu dan Taman Sri Balung.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemantauan di semua lokasi terjejas serta memindahkan mangsa yang terperangkap di Kampung Tanjung Batu Keramat ke PPS.
“Keadaan paras air dilaporkan semakin surut dan terkawal sepanjang operasi dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sepanjang operasi berlangsung, Bilik Kawalan BBP Tawau turut menerima beberapa panggilan kecemasan berkaitan kejadian banjir di kawasan terjejas.
“Selepas memastikan tiada lagi ancaman di lokasi dan keadaan adalah selamat, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.30 pagi,” katanya.
Daripada keseluruhan mangsa yang dipindahkan, dua adalah warga emas, masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita, selain sembilan lelaki dewasa, 19 wanita dewasa, 11 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan.