Search

Tawau diisytihar kawasan bencana banjir

July 25, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau hari ini mengisytiharkan daerah itu sebagai kawasan bencana banjir susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi yang meningkatkan risiko limpahan air di beberapa kawasan.

Pengerusi JPBD Tawau, Mohd Shoffian Mohd Said berkata, pengisytiharan bencana itu berkuat kuasa pada jam 8.30 pagi bagi membolehkan semua agensi berkaitan menggerakkan tindakan pengurusan bencana secara bersepadu.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keadaan cuaca, hujan berterusan serta fenomena air pasang yang direkodkan mencecah 2.4 meter pada awal pagi.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Tawau memaklumkan pasukan pemantau telah digerakkan seawal jam 3.55 pagi bagi memantau kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot banjir.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tawau, lokasi yang dipantau ialah Mid Valley, Taman Rainbow, Tanjung Batu Keramat dan Jalan Bunga Raya.

“Hasil pemantauan mendapati paras air di Mid Valley dan Taman Rainbow masing-masing berada pada 0.5 meter, manakala Jalan Bunga Raya merekodkan bacaan 0.4 meter dan semuanya masih dalam keadaan terkawal,” menurut kenyataan itu.

Katanya, pada jam 8 pagi, bacaan paras air direkodkan pada 1.6 meter dengan trend menunjukkan penurunan, manakala keadaan cuaca ketika pemantauan adalah gerimis.

“Setakat ini, tiada jalan yang dinaiki air atau terputus, tiada kampung terputus hubungan, selain tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka kerana keadaan masih terkawal,” katanya

Bagi menghadapi sebarang kemungkinan, APM Tawau menggerakkan seorang pegawai, sembilan anggota serta aset sebuah Medium Rescue Vehicle (MRV) dan sebuah Light Rescue Vehicle (LRV) untuk operasi pemantauan dan kesiapsiagaan.

JPBD Tawau memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan cuaca dan paras air dari semasa ke semasa serta menasihatkan penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya keadaan banjir bertambah buruk.