KOTA KINABALU: Cawangan Siasatan dan Pendakwaan muncul juara keseluruhan Kejohanan Badminton Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu 2026 selepas mengungguli dua daripada tiga kategori yang dipertandingkan pada kejohanan yang berlangsung di Dewan IPD Kota Kinabalu, di sini, semalam.
Kejohanan yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 6 petang itu dianjurkan oleh Cawangan Pengurusan Saman BSPT IPD Kota Kinabalu dengan penyertaan pegawai kanan polis, anggota, kakitangan awam serta ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) BSPT.
Penganjuran kejohanan itu bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat dalam kalangan warga BSPT, malah bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk semangat berpasukan serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu Kategori VIP dan Veteran, Kategori Lelaki Terbuka serta Kategori Perempuan yang masing-masing mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta.
Kategori VIP dan Veteran melibatkan pegawai kanan polis serta anggota berusia 45 tahun ke atas, manakala Kategori Lelaki Terbuka disertai pegawai, anggota dan kakitangan awam lelaki. Kategori Perempuan pula menghimpunkan anggota wanita, kakitangan awam serta ahli PERKEP BSPT.
Bagi memastikan pertandingan berlangsung lebih kompetitif, perlawanan Kategori VIP dan Veteran serta Lelaki Terbuka dijalankan menggunakan sistem Winner and Loser, manakala Kategori Perempuan menggunakan format liga berkumpulan.

Dalam Kategori VIP dan Veteran, pasangan beregu DSP Khazrul Shah Annuar Ahmad bergandingan dengan Inspektor Mohamad Kemil muncul juara selepas menewaskan pasangan beregu ASP Jupri bersama Inspektor Brymenedran pada perlawanan akhir.
Tempat ketiga pula menjadi milik pasangan beregu Inspektor Irian dan Sarjan Jeff.
Sementara itu, Kategori Lelaki Terbuka menyaksikan pasangan beregu Koperal Hafiz dan Koperal Awang muncul juara, manakala Sarjan Mejar Suhayimi bersama Fadrian bergelar naib juara. Tempat ketiga dimenangi pasangan beregu Koperal Silwanus dan Lans Koperal Robin Wong.
Bagi Kategori Perempuan pula, pasangan beregu Koperal Linda dan Lans Koperal Aliza membuktikan keunggulan apabila muncul juara. Naib juara dimenangi pasangan beregu Koperal Melissa dan Lans Koperal Seetha, manakala tempat ketiga menjadi milik pasangan beregu Koperal Camelia dan Puan Jastina.
Kejayaan mengungguli dua kategori membolehkan Cawangan Siasatan dan Pendakwaan dinobatkan sebagai juara keseluruhan kejohanan, sekali gus mencerminkan komitmen serta semangat kesukanan tinggi yang dipamerkan anggotanya sepanjang pertandingan berlangsung.
Sepanjang kejohanan, semua perlawanan berlangsung dalam suasana harmoni, penuh semangat kesukanan dan muhibah tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Penganjuran kejohanan itu diharapkan dapat diteruskan sebagai acara tahunan bagi memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama dalam kalangan warga BSPT IPD Kota Kinabalu, di samping menyemai budaya hidup sihat serta meningkatkan kecergasan fizikal dalam kalangan pegawai dan anggota PDRM. – Info X